Siri 2 : Isu-isu Tarannum Al-Quran

Pentas Pertandingan Tilawah Al-QuranMUSIM TILAWAH

      Sebelum ini, saya telah memperkatakan tentang masalah kurangnya penyertaan dalam pengajian kelas-kelas Tarannum. Tetapi, situasi akan berubah apabila tibanya musim pertandingan Tilawah. Kelas-kelas Tarannum mula bertambah penyertaan. Kenapa? Kerana mereka ingin menyertai pertandingan Tilawah yang bakal tiba beberapa minggu atau hari sahaja lagi.

      Inilah realiti yang berlaku. Kelas-kelas Tarannum hanya bagai batu loncatan untuk melunaskan keinginan diri pada waktu-waktu tertentu dan untuk mengejar habuan-habuan pertandingan. Kalau ada pertandingan, baru nak datang belajar. Kalau dah habis pertandingan, seakan dah habis pengajian kelas tersebut. Guru-guru Tarannum ini hanya dicari ketika musim Tilawah.

      Wahai rakan-rakan sekelian, dalam banyak keadaan sebenarnya kita lebih suka mendengar irama-irama lagu di corong-corong radio. Kadang-kadang lidah kita turut melafazkannya semasa melaksanakan aktiviti harian ataupun dikala santai. Sebenarnya, perkara ini dapat diubah dari nyanyian lagu-lagu yang lebih membicarakan tentang cinta manusia yang belum tentu ada ganjaran pahalanya, merubah kepada melagukan ayat-ayat Al-Quran dengan seni lagu Tarannum Al-Quran. Pahalanya amat jelas dinyatakan oleh Allah dan RasulNya. Sekiranya kita mendalami indahnya kesenian Tarannum Al-Quran maka, pertandingan Tilawah Al-Quran bukanlah menjadi penyebab utama mengapa kita perlu pelajarinya. Kebosanan menatap & membaca ayat-ayat suci Al-Quran akan hilang bila digabungkan dengan rentak lagu Tarannum semasa membacanya.

      Selalunya, mereka yang mempunyai minat tinggi dalam mempelajari Tarannum akan mengalunkan bacaan tersebut pada masa-masa terluang seperti: ketika memandu, semasa melakukan aktiviti dalam rumah, semasa ruang-ruang kosong bekerja/belajar, semasa santai dan lain-lain masa yang terluang, sebagaimana orang lain mengalunkan lagu-lagu cinta. Bukankah cara ini juga termasuk dalam membudayakan bacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian? Tidak semestinya kita letakkan bacaan Al-Quran hanya pada masa-masa tertentu seperti selepas maghrib atau pada bulan Ramadhan sahaja. Alunan ayat Al-Quran secara berlagu di waktu-waktu santai sudah pasti ditentukan juga ganjarannya oleh Allah SWT. Renung-renungkanlah….

      bersambung siri yang berikutnya, “ragam hakim”…

Leave a comment

1 Comments.

  1. Ismail Md Said

    pandangan yang baik , teruskan perjuangan , insyaAllah , Allah (swt) kasih kepada orang yang kasihkan Al-Quran, subhanallah, Allah Hu Akbar.

Leave a Reply


[ Ctrl + Enter ]