Setelah saya sentuh isu-isu yang berkaitan tentang Kursus-kursus Al-Quran, kali ini saya ingin menyentuh pula isu kewangan yang timbul berkaitan tentang Tarannum Al-Quran.
Mengikut pengalaman saya, berbagai tanggapan yang diberikan oleh masyarakat tentang pengajian yang berkaitan dengan Al-Quran. Ada yang meletakkan dengan nilai yang tinggi kerana memuliakan Al-Quran. Tidak kurang juga yang meletakkan nilai yang rendah jika dibandingkan dengan harga kelas-kelas Tuisyen bagi subjek-subjek akademik. Seakan-akan subjek-subjek akademik lebih mulia berbanding ayat-ayat suci Al-Quran.
PERUNTUKAN TILAWAH
Pernah suatu ketika, saya menyertai pertandingan tilawah di peringkat pemilihan untuk ke Daerah. Pertandingan yang bermula jam 8.00 pagi itu hanya menyediakan sarapan pagi sahaja kerana menjangkakan majlis tamat jam 12.00 tengahari. Tetapi, rupanya pertandingan berlanjutan sehingga jam 3.00 petang. Makan tengahari tidak disediakan kerana kata urusetia :
“kami tak jangka pertandingan begitu lama jadi, makan tengahari tak ada…“
Saya menerima dengan hati terbuka atas kesilapan luar jangka tersebut walaupun kelaparan menunggu keputusan pertandingan pemilihan tersebut pada jam 3.00 petang.
Pada tahun berikutnya saya menyertai lagi. Kali ini memang dinyatakan pertandingan bermula sekitar jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang. Tetapi, yang menyedihkan, apabila majlis berlangsung rupanya jamuan hanya disediakan 1 kali sahaja iaitu untuk sarapan pagi. Jadi, kata-kata mereka pada tahun lepas hanya sekadar untuk melepaskan diri dari tohmahan peserta.
Mungkin kisah ini nampak saya “berkira” tentang bab makan. Sebenarnya, saya cukup kecewa dengan peruntukan yang disediakan untuk majlis atau apa jua program yang berkaitan dengan Al-Quran. Tentang kisah tadi, nampak sangat betapa terhadnya wang yang diperuntukkan untuk program Al-Quran. Tetapi, bagaimana pula dengan peruntukan untuk program-program lain seperti konsert, bola, jemputan para artis dan lain-lain?
Begitu juga dengan peruntukan hadiah bagi pemenang tilawah di peringkat daerah. Jumlah peruntukan yang disediakan tidak tetap bagi setiap tahun. Sebagai contoh pada tahun 2009 di daerah tertentu, hadiah wang bagi peringkat remaja adalah seperti berikut :
Johan : RM800.00
Naib Johan : RM600.00
Ketiga : RM400.00
Tapi, untuk tahun 2010, jumlahnya menurun seperti berikut :
Johan : RM400.00
Naib Johan : RM300.00
Ketiga : RM200.00
Kecewa dengan apa yang berlaku. Mungkin kata-kata ini seperti mata duitan. Bagi saya, sebenarnya cukup sukar nak mengajak kanak-kanak atau remaja untuk mendalami dalam bidang Al-Quran ini. Tapi, bila ada 1 tarikan yang menarik yang ditawarkan kepada mereka apabila menceburi dalam bidang Al-Quran, ia mampu memotivasikan remaja untuk lebih bergiat dalam bidang Al-Quran. Tentang ikhlas atau tidak, itu urusan hati masing-masing. Tidak mustahil Allah memberi hidayah kepada mereka apabila menceburi bidang pengajian Al-Quran kelak. Hidayah adalah urusan Allah yang akan dianugerahkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.
DI INDONESIA
Apabila saya bersoal selidik kepada kawan warganegara Indonesia, saya dapati agak jauh nilai yang diletak oleh rakyat Indonesia tentang Al-Quran. Soalan saya lebih kepada pertandingan Al-Quran dan berikut adalah input yang saya dapat :
1- Di Indonesia, Hakim Kebangsaan diberi elaun RM15 ribu pada setiap pertandingan. Di Malaysia, Hakim Kebangsaan diberi elaun kurang dari RM8 ribu.
2- Di Indonesia, setiap tahun Hakim Kebangsaan ditawarkan ke luar negara samada menunaikan haji/umrah atau ke negara-negara arab yang lain. Di Malaysia, tiada tawaran sedemikian.
3- Di Indonesia, semua pertandingan walaupun di peringkat bawahan, pemenang akan menerima wang, trofi, sijil & sepasang baju kot (berseluar). Di Malaysia, hanya wang (jumlah tidak tetap), trofi (bergantung penganjur) & sijil (bermula peringkat daerah sahaja atau bergantung kepada penganjur) diberikan.
4- Di Indonesia, peserta pertandingan akan hadir bersama peserta gantian (macam pemain simpanan bola). Dan peserta gantian akan turut mendapat hadiah yang sama dengan peserta sebenar walaupun tidak bertanding. Di Malaysia, tiada peserta gantian untuk pertandingan tilawah.
Dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang diberikan kepada peserta Al-Quran dan hakim-hakim Al-Quran di pelbagai peringkat di Indonesia. Menunjukkan nilaian tinggi mereka terhadap orang-orang yang melibatkan diri dalam bidang Al-Quran. Sebab itulah ramai yang berebut-rebut untuk mendalami dalam bidang Al-Quran di sana samada hafazan ataupun tilawah sahaja. Sedangkan kelebihan-kelebihan tersebut tidak terdapat di Malaysia.
Inilah realiti yang sedang berlaku apabila terlalu berkira untuk memperuntukkan wang yang “selesa” kepada perkara-perkara yang melibatkan Al-Quran. Akhirnya, masyarakat tidak berebut-rebut kepada kelas-kelas pengajian Al-Quran yang sedia ada.

0 Comments.